Rumpai laut (seaweed)
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Rumpai laut memiliki banyak kegunaan untuk dijadikan pelbagai jenis produk. Salah satu daripada kegunaan utamanya adalah sebagai makanan kerana ia dikatakan kaya dengan zat, vitamin dan mineral. Malah di negara Jepun, rumpai laut telah menjadi sebahagian daripada pemakanan penting masyarakat di negara tersebut selama berkurun lamanya.
Ðikenali juga sebagai seaweed atau sea vegetables oleh masyarakat Barat, rumpai laut boleh dijumpai hidup dalam air laut masin dan juga tasik air tawar. Rumpai laut tergolong dalam kumpulan alga. Terdapat beribu jenis rumpai laut yang dikelaskan melalui kategori warna iaitu sama ada coklat, merah atau hijau. Setiap satunya adalah unik, dan memiliki rasa dan tekstur yang berbeza.
Rumpai laut juga turut dituai untuk pengekstrakan alginate, agar dan carrageenan, bahan gelatin yang dikenali sebagai hydrocolloid atau phycocolloids. Hydrocolloid berguna sebagai penambah rasa makanan. Agar pula digunakan dalam pembuatan kek, produk susu dan makanan yang dibentuk. Sementara carrageenan digunakan sebagai kuah dan sos salad, makanan dietitik dan pengawet produk daging dan ikan, tenusu dan makanan dibakar.
Jenis-jenis rumpai laut yang terkenal dari Jepun adalah seperti nori, hijiki, wakame, arame, kombu dan dulse. Nori berwarna ungu-kehitaman yang akan bertukar kepada warna hijau apabila dibakar dan amat popular digunakan dalam membuat sushi.
Kelp pula memiliki warna coklat terang dan warna hijau gelap dan boleh didapati dalam bentuk emping. Ia juga popular sebagai suplemen kesihatan. Hijiki berbentuk seperti juraian kecil pasta keras dan mempunyai rasa yang kuat.
Kombu berwarna hitam dan didapati dalam bentuk kepingan dan sering kali digunakan sebagai bahan perasa sup. Wakame hampir sama seperti Kombu dan biasanya digunakan untuk membuat sup Jepun yang dikenali sebagai sup miso. Arame berbentuk seperti renda dan keras serta mempunyai rasa manis. Ðulse berwarna merah-kecoklatan dan bertekstur kenyal.
Rumpai laut tetap memiliki khasiat walaupun diambil dalam bentuk kering, bakar atau ekstrak. Rumpai laut kering ringan sedikit dan mudah untuk disimpan dan dibungkus. Rumpai laut bakar adalah bahan yang digunakan untuk membuat sushi.
Khasiat rumpai laut bakar atau kering adalah sama seperti khasiat yang terdapat pada rumpai laut segar yang kaya dengan vitamin dan mineral seperti besi, magnesium dan karbonat. Perbezaan antara jenis ini adalah apabila rumpai laut itu dikeringkan atau dibakar, bakteria pada rumpai laut sebagai makanan telah dibunuh dan dimusnahkan.
Ekstrak rumpai laut dikatakan tinggi kandungan mineral dan kaya dengan sumber iodine, zink, besi, kalium, tembaga, magnesium dan kalsium. Ðikatakan dengan menambah rumpai kaut dalam masakan mampu meningkatkan jumlah serat dalam makanan yang telah dimasak.
Buang toksin dan bahan radikal bebas
Kajian telah menunjukkan bahawa ekstrak rumpai laut dikatakan mampu mengurangkan gejala-gejala osteoarthritis kira-kira sebanyak 15%. Pesakit yang mengambil ekstrak rumpai laut selama tiga bulan telah mengalami kemajuan dalam pergerakan dan pengurangan rasa sakit.
Rumpai laut bantu turunkan tahap kolesterol
Ekstrak rumpai laut juga amat baik untuk jantung kerana ia didakwa merendahkan kolesterol dan juga memperbaiki pengedaran darah. Ðikatakan juga menggantikan garam dengan rumpai laut yangtelah dikisar halus dalam makanan amat baik untuk mereka yang mengalami tekanan darah tinggi.
Mencegah kanser
Pertumbuhan dan penyebaran kanser dalam tubuh juga mampu dicegah jika ekstrak rumpai laut dijadikan sebagai makan seharian.
Meningkatkan metabolisme
Ekstrak rumpai laut dikatakan juga mengandungi alginate, bahan aktif tidak ada rasa dan tidak berbau yang dikatakan mampu meningkatkan metabolisme, sekali gus meminimumkan peningkatan berat badan yang berkaitan dengan makanan berlemak dan berkalori.
Alginate dalam ekstrak rumpai laut juga dikatakan mengikat bahan radioaktif dan logam berat, dan juga membebaskan radikal bebas dan toksin lain dalam tubuh. Bahan-bahan ini kemudiannya keluar daripada tubuh apabila ia dibuang daripada sistem tubuh.
Merangsang sistem pertahanan badan
Ekstrak laut juga dikatakan mampu merangsang sistem imun dan membantu tubuh menentang jangkitan virus seperti herpes. Ia juga amat baik untuk mengurangkan masalah kulit seperti ekzeme dan psoriasis.
Rumpai laut juga dikatakan mengandungi seanol, antioksidan kuat yang lebih berkuasa daripada apa yang terdapat dalam tumbuhan di darat. Antioksidan ini dikatakan mampu merangsang tenaga dan kesedaran mental.
Lignan yang ditemui dalam rumpai laut juga dikatakan mampu bertindak sebagai estrogen lemak dan bersama-sama dengan magnesium ia mampu mengembalikan semula corak tidur dan mengurangkan 'hot flushes' yang berlaku pada wanita menopaus.
Walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh diberikan oleh rumpai laut, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu lagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.
No comments:
Post a Comment